PERKONGSIAN Rudy Ludinata
Percaya atau tidak, ramai dalam kalangan kita lupa dengan hak yang satu ini. Pembulian oleh syarikat penerbangan dengan pengalaman 'delay' memang perlu dihadapi oleh ramai pengembara.
Ada disebabkan oleh gangguan teknikal pesawat, kesibukan lapangan terbang, kecemasan, faktor cuaca dan macam-macam lagi.
Ramai dalam kalangan kita juga akan mula menularkan cerita sensasi kelewatan kapal terbang yang dinaiki - 'pung pang pung pang' di media sosial. Bagi kita, ia hanyalah bising-bising seperti ribut yang berlaku di dalam cawan sahaja yang impaknya tidaklah besar mana.
Sikap orang kita juga suka menjadi pengembara yang 'kedekut' untuk mengeluarkan duit untuk melindungi keselamatan diri dan insiden kelewatan penerbangan dan bagasi. Kerana itu, kita perlu sentiasa memastikan diri tidak dibuli dengan membeli insuran kembara yang boleh beri manfaat besar atas sebarang kemungkinan.
Ada juga pengembara yang sudah membeli perlindungan insuran lupa pula untuk membuat tuntutan. Anggapan mereka kelewatan sejam dua itu perkara biasa. Sedangkan perlindungan yang kita dapat lazimnya meliputi semua keadaan itu.
Ironinya, baru-baru ini pesawat saya terlambat. Sebenarnya saya memang mengelak menaiki pesawat dari syarikat penerbangan yang satu ini. Namun, kerana saya tiada pilihan kerana pesawat kegemaran saya sudah kehabisan tiket, maka itu sahajalah pilihan yang ada.
Seperti yang dijangkakan, memang terjadi kelewatan dan keesokan paginya saya terus membuat tuntutan secara atas talian di laman web syarikat penerbangan itu.
Saya percaya hak kita tetap menjadi keutamaan. Senyum lebar apabila mendapat kompensasi RM100.00 itu. Meskipun sedikit, jadilah daripada tidak dapat langsung. Saya beruntung, ini kerana wang ganti rugi tersebut melebihi jumlah harga tiket yang saya bayar.
Ulasan