Anda kerap kali mengambil panadol apabila terasa pening? Hampir setiap hari anda menelan berbiji-biji Panadol dengan harapan pening kepala anda kembali reda? Maka selepas anda membaca apa yang bakal disampaikan sebentar lagi, anda mungkin perlu mempertimbangkan semula tindak-tanduk mengambil Panadol sebagai ‘suplemen’ harian. Ini kerana kajian terkini yang dijalankan di University of Washington telah mendapati bahawa pengambilan acetaminophen secara kerap berkemungkinan meningkatkan peluang si pengambilnya untuk mendapat kanser darah tertentu!
Terlebih dahulu, tahukah anda apakah itu acetaminophen? Acetaminophen merupakan istilah yang digunakan di Amerika Syarikat dan Kanada, yang merujuk kepada sejenis sebatian yang kita kenali di negara kita dengan nama generik “paracetamol”. Ia digunakan secara meluas sama ada sebagai analgesic (melegakan sakit kepala) atau sebagai antipyretic (mengurangkan suhu badan ketika demam). Di Malaysia, acetaminophen/paracetamol boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai runcit, 7-eleven, supermarket, atau farmasi dan antara jenama yang sering didengari adalah “Panadol” atau “Uphamol”. Setiap satu tablet panadol mengandungi 500mg acetaminophen/paracetamol dan dos yang dibenarkan untuk sekali ambil secara selamat adalah 1000mg (2 tablet).
Acetaminophen bersifat lebih lembut berbanding teman karibnya, aspirin yang juga bersifat analgesic, tetapi pengambilan aspirin di luar dos yang dibenarkan boleh membuatkan seseorang itu mengalami pening dan muntah yang melampau. Memandangkan sifat acetaminophen yang sedikit lembut ini, kebanyakkan individu mengambil ia apabila pening hanya semudah seperti mengambil gula-gula. Apabila pening sahaja, terus ambil. Pening sahaja, terus sahaja telan Panadol. Kalau sehari tu si Senah pening 10 kali, maka 10 kali tu jugalah dia telan Panadol! Walhal jika hendak diikutkan, pengambilan acetaminophen harus mendapat pengesahan daripada pakar perubatan atau individu bertauliah yang berkenaan terlebih dahulu. Tidak ketinggalan, terdapat juga segelintir individu yang ‘terlebih pandai’ dengan mengambil acetaminophen bersama setin Coca Cola untuk mendapatkan rasa ‘high‘.
Berbalik pada kajian terkini yang dijalankan, memang telah disahkan bahawa pengambilan acetaminophen secara kerap berkemungkinan meningkatkan peluang si pengambilnya untuk mendapat kanser darah tertentu. Ketua penyelidik kajian yang berkenaan, Dr. Roland Walter, merangkap pembantu profesor perubatan di bahagian hematologi, mendakwa “Kami mendapati bahawa penggunaan acetaminophen yang terlalu kerap, iaitu salah satu ubat yang paling kerap digunakan di seluruh dunia, mempunyai hubung kait yang berisiko meningkatkan insiden ‘hematologic malignancies’ hampir dua kali ganda” [hematologic malignancies merujuk kepada jenis-jenis kanser berlaku dalam darah, tulang sum sum, dan limfa]
Gambarajah yang menunjukkan malignant (tumor) dalam darah.
Para penyelidik mendapati bahawa mereka yang mengambil acetaminophen sekurang-kurangnya 4 hari seminggu selama 4 tahun telah menerima hampir dua kali ganda risiko untuk mengidap beberapa jenis kanser darah. Kanser-kanser ini termasuklah myeloid neoplasms, non-Hodgkin lymphomas dan gangguan plasma sel. Walaubagaimanapun, kumpulan penyelidik ini mendapati penggunaan acetaminophen seperti ini tidak mempunyai kaitan dalam risiko peningkatan penyakit leukimia. Ramai pakar berpendapat kajian seperti ini harus diteruskan dan dijalankan dengan lebih mendalam agar kesan sampingan sebenar acetaminophen dapat dirungkai.
Kredit Sususejat
Kredit Sususejat
Ulasan